top of page

Ucapan Tahun Baru 2020



Assalamualaikum & salam sejahtera diucapkan kepada semua. Syukur ke hadrat Ilahi atas limpah kurniaan-Nya dapat kita terus hidup & bernafas di atas muka bumi ini. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat baginda yang berusaha menyebarkan kalimah Allah ke seluruh dunia. Tahun 2019 telah melabuhkan tirainya, 1001 kenangan suka & duka yang telah ditinggalkan dalam tahun pertama melahirkan ‘JAZRO Robotic Academy’ ini. Pelbagai pengalaman yang ditimba sepanjang 2019 ini. Syukur yang tidak terhingga didahului dengan ucapan Alhamdulillah untuk segala kejayaan & pencapaian yang telah digapai oleh JAZRO pada 2019. Terima kasih diucapkan kepada pasukan JAZRO yang bertungkus-lumus menjayakan setiap program & kelas robotik JAZRO, mengajar Jazarian di kawasan kami beroperasi. Antara kejayaan yang boleh disenaraikan sepanjang tahun 2019 adalah seperti di bawah untuk dijadikan rujukan & penanda aras untuk perjalanan JAZRO bagi tahun 2020 dan seterusnya:- 1. Menjadi Agen Telaga Biru Sdn Bhd di Negeri Terengganu. 2. Mengajar seramai 70 orang pelajar sebagai Jazarian untuk kelas robotik mingguan. 3. Menjadi penganjur bersama Pertandingan Robotik Mini MakeX peringkat Negeri Terengganu 2019 dengan penyertaan seramai 100 orang. 4. Membawa 68 pelajar (34 kumpulan) wakil Negeri Terengganu ke Pertandingan Robotik MakeX peringkat Kebangsaan 2019 di UKM, Bangi dengan jumlah penyertaan keseluruhan seramai 296 peserta (148 kumpulan). 5. Berjaya memenangi 4 anugerah untuk pasukan Negeri Terengganu (Appearance Design Award, Alliance Collaboration Award, Team Culture Award & Competition Spirit Award) di Pertandingan Robotik MakeX peringkat Kebangsaan. 6. Mewakili Kontingen Malaysia untuk Pertandingan Robotik MakeX peringkat Antarabangsa di Guangzhou, China dengan jumlah pernyertaan seramai 3,800 orang dari 60 negara yang bertanding. 7. Mewakili negara Malaysia untuk sesi latihan dari Make Block untuk Pertandingan Robotik MakeX 2020 di Shenzen, China. 8. Menjadi penganjur utama untuk program Robotik & STEM Edutainment di Pusat Membeli-belah Mesra Mall, Kerteh. 9. Menjadi rakan kolaborasi & penganjuran bersama untuk beberapa pertandingan inovasi & robotik seperti TRC’19 & KepriST di Daerah Kemaman. 10. Berjaya menjaringkan hubungan bersama bebrapa rakan kolaborasi untuk membantu dalam membangunkan program robotik & STEM di kawasan Pantai Timur. Bagi saya, pengalaman paling manis pada tahun 2019 adalah dilantik menjadi agen negeri Terengganu bagi program & aktiviti melibatkan Pendidikan STEM bagi syarikat percetakan majalah yang terkemuka negara iaitu Telaga Biru Sdn Bhd dibawah Telaga Biru Education yang memfokuskan kepada Pendidikan STEM. Bermula dari situ, pelbagai gerak kerja disusun bagi menyokong & mendokong perjalanan membantu pelajar & anak muda di negeri Terengganu untuk mengenal Pendidikan STEM & Robotik dengan lebih rapat lagi. Selari dengan kepesatan dunia teknologi digital & Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0), tahun 2020 hadir dengan 1001 cabaran yang perlu dihadapi. Kami melihat setiap cabaran itu sebagai satu peluang untuk kami untuk belajar & terus ke hadapan. Kami akan berusaha untuk mengembangkan ilmu ini & membantu ibu bapa, guru-guru, tenaga pengajar untuk mendidik anak-anak pelajar kawasan Pantai Timur dalam bidang Pendidikan STEM & Robotik. Dengan semangat yang jitu & niat yang tetap teguh untuk mengajar anak-anak muda di negeri Terengganu & kawasan Pantai Timur secara amnya bukan hanya untuk mengenali ilmu STEM & Robotik sahaja, tetapi dapat mewakili sekolah, daerah & negeri masing-masing bagi ke Pertandingan Robotik MakeX peringkat Kebangsaan bagi tahun 2020 nanti. Kami akan membawa pelajar Pantai Timur ke satu tahap yang lebih tinggi supaya mereka tidak dipandang berada di belakang lagi, mereka mampu untuk bersaing dengan pelajar lain di kawasan bandar dalam bidang Pendidikan STEM ini. Dengan itu, 3 aspek yang akan difokuskan JAZRO pada tahun 2020 iaitu ‘TEAMWORK, SPEED & COMPETITIVE’. 3 aspek ini adalah untuk kami menghadapai tahun 2020 dengan lebih cemerlang bagi melahirkan lebih ramai Jazarian yang dapat bersaing di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa. 3 aspek ini juga bagi menggerakkan agenda Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menggalakan pelajar & anak muda untuk meneroka & mempelajari Pendidikan STEM di negara ini, bukan sahaja pelajar di bandar, malah pelajar luar bandar & juga pelajar yang belajar aliran agama. Saya berharap bahawa pasukan JAZRO akan berkembang dan berbekalkan semangat TEAMWORK, kami akan bermula dengan membuka JAZRO di beberapa bandar besar di kawasan Pantai Timur. Kami akan berkolaborasi dengan rakan-rakan strategik kami bagi menjayakan agenda pendidikan STEM & Robotik di Malaysia. Saya berharap agar lebih ramai pelajar & anak muda pada masa kini dapat mempelajari ilmu berkaitan dunia teknologi digital dengan lebih mudah. Kami akan memberi peluang pelajar di kawasan luar bandar & juga pelajar aliran agama untuk turut serta mempelajari ilmu Pendidikan STEM & Robotik kerana ia adalah ilmu masa hadapan di mana ia selari dengan tema KPM sendiri iaitu ‘Pendidikan Untuk Semua’. Selain itu, berpaksikan konsep Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21), pembelajaran anak-anak akan lebih pantas menggunakan teknologi digital. Kami juga akan lebih pantas untuk berusaha menjadikan pelajar & anak muda sebagai insan yang berjaya di masa hadapan Insya Allah. Mereka bukan sahaja berjaya di dunia, malah di akhirat kelak. SPEED akan menjadi antara fokus kami bagi menjalankan gerak kerja JAZRO 2020. Tahun 2020 ini kami akan lebih menjadi COMPETITIVE dengan penganjuran Mini MakeX di 3 negeri di Pantai Timur (Pahang, Terengganu & Kelantan). Sekarang adalah masa bagi pelajar & anak muda di kawasan ini untuk terus maju ke hadapan dengan mempelajari ilmu STEM & Robotik. Kemudian, mereka akan menyertai pertandingan yang dianjurkan di negara ini. Potensi mereka adalah sangat besar, mereka perlu lebih berani untuk menampilkan diri & adalah menjadi tanggungjawab kami mencungkil bakat mereka agar dapat membawa pulang anugerah di pertandingan berkaitan STEM & Robotik di peringkat Kebangsaan & Antarabangsa insya Allah. Akhir kata, jangan jadikan alasan dalam diri kita, jika kita tidak tahu tentang ilmu STEM, Pengaturcaraan atau Robotik, kita tidak boleh ajarkan kepada anak-anak. Peluang sudah berada di depan mata, sokong mereka untuk belajar ilmu masa hadapan ini kerana dunia akan memfokuskan kepada ilmu teknologi digital selari dengan IR4.0 pada masa akan datang kelak. Dunia akan terus berkembang pesat & pelajaran masa hadapan akan lebih kompleks yang memerlukan ilmu STEM, Pengaturcaraan & Robotik. Sekian sahaja dari saya & seluruh pasukan JAZRO, kami mengucapkan Selamat Tinggal Tahun 2019, Selamat Datang Tahun Baru 2020 & Selamat Datang ke Dunia Pendidikan STEM & Robotik kepada anda semua. Semoga tahun 2020 ini akan menjadikan anda & anak-anak anda seorang yang berjaya di dunia & akhirat. Insya Allah amin..Jazakallahukhairan Kathira. Salam sayang dari kami seluruh pasukan JAZRO.



116 views0 comments
bottom of page