top of page

Restoran mamak guna robot layan pelanggan?



KUALA LUMPUR: Kekurangan tenaga kerja, sama ada warga asing atau tempatan di restoran mamak atau makanan India negara ini, mendorong pengusahanya bertindak kreatif dengan memanfaatkan penggunaan teknologi robot bagi mengambil alih tugas sebagai pelayan di premis masing-masing.


Walaupun berdepan kos tinggi, robot pelayan dilihat penyelesaian terbaik ketika ini untuk menangani krisis kekurangan pekerja dihadapi ramai majikan restoran yang selama ini banyak bergantung kepada pekerja asing, bagi memulihkan perniagaan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.


Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), C Krishnan, menyifatkan ketika ini operasi restoran makanan India di negara ini dalam keadaan tenat dan lebih ramai mungkin terpaksa gulung tikar disebabkan ketiadaan pekerja.

Katanya, walaupun kebenaran beroperasi sepenuhnya sudah diberikan kerajaan, tempoh operasi restoran terpaksa dihadkan berikutan kekurangan tenaga kerja, selain tiada pekerja tempatan mahu berkhidmat.


"Kami mempunyai sekitar 1,200 ahli yang mengendalikan kira-kira 4,000 restoran di seluruh negara, tetapi sejak kebelakangan ini 30 peratus premis terpaksa tutup disebabkan COVID-19 serta tiada pekerja.


"Industri mula kekurangan pekerja ketika awal pandemik dan meningkat apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan serta kes COVID-19 yang tinggi di Malaysia dengan pekerja sedia ada memutuskan untuk pulang ke negara asal, sebelum diburukkan lagi dengan ketiadaan kemasukan pekerja asing baharu.


"Kita berharap pekerja tempatan mengisi kekosongan ini, namun saya boleh katakan sambutan sangat negatif, seakan tiada rakyat kita berminat bekerja di restoran meskipun peluang terlalu banyak. "Sehinggakan ada pengusaha restoran termasuk saya terpaksa menggunakan robot pelayan yang menelan kos sehingga RM40,000 seunit demi melancarkan operasi restoran. Ini adalah hakikat yang berlaku dalam industri hari ini," katanya.


Bagaimanapun beliau berkata, hanya 50 peratus restoran makanan India di negara ini yang sesuai menggunakan khidmat robot pelayan kerana banyak premis tidak menepati kriteria khususnya berkaitan keluasan premis. "Jika kedai luas ini sangat membantu kami tetapi jika ruang kecil seperti lot pertengahan ia tidak berhasil.


"Saya mempunyai dua restoran, satu ruangnya besar dan sangat berjaya bila menggunakan robot tetapi untuk premis lebih kecil, ia tidak boleh dilaksanakan. "Justeru, kita masih perlu bergantung kepada tenaga manusia dan bagi restoran makanan India keperluan pekerja asing sangat mendesak kerana tiada rakyat tempatan mahu bekerja," katanya. Mengulas lanjut, beliau Krishnan berkata, masalah utama ketiadaan pekerja tempatan disebabkan banyak peluang pekerjaan hari ini, khususnya berkaitan ekonomi gig dan itu membolehkan mereka memilih pekerjaan lebih menguntungkan dan mempunyai fleksibiliti masa.


"Kami menawarkan gaji sehingga lebih RM2,000 sebulan, tetapi dengan bekerja sebagai 'budak penghantar' mereka mampu memperoleh sehingga RM200 sehari atau RM6,000 sebulan. Sudah tentu pekerjaan itu dipilih meskipun risikonya tinggi. "Kita juga tidak boleh memaksa pekerja kerana sedar tidak akan mampu menawarkan gaji setinggi itu kepada mereka," katanya.


Beliau berkata, PRISMA turut melancarkan kempen mencari pekerja tempatan, namun ia langsung tidak mendapat sambutan daripada orang ramai. "Kita tawarkan gaji melebihi paras yang ditetapkan sehingga ada restoran memberikan gaji RM1,800 sebulan dan jika lebih masa boleh mencecah lebih RM2,000, ia tetap tidak mendapat sambutan," tegasnya.

Sumber : Ilah Hafiz Aziz, Berita harian.


JAZRO komited bantu anak anda seawal di tadika untuk terokai kemahiran 'coding' & robotik. Cikgu-cikgu & ibu ayah ingin anak-anak belajar coding? sesi ini eksklusif untuk anak anda & JAZRO jemput anda join secara PERCUMA, Click link di bawah untuk join:







22 views0 comments

Commenti


bottom of page