top of page
jazroteam

PROGRAM TOT LITTLE JAZARI TRAINING


Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada anda semua. Alhamdulillah, kita telah memasuki minggu terakhir bulan April di mana semua umat Islam sedang menjalankan ibadah puasa. Beberapa hari lagi bulan Ramadan akan meninggalkan kita dan semua umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dalam bulan yang mulia ini juga, kami di JAZRO Robotic Academy telah mengadakan pelbagai aktiviti dan program untuk pelajar sekolah dalam mendalami ilmu STEM, Robotik, dan Inovasi.


Program kali ini ialah ToT (Train of Trainers) Little Jazari Training yang diadakan pada 8 April 2022 dan bertempat di Tadika Minda Bitara, Tangkak, Johor. Para peserta terdiri daripada guru-guru yang mengajar di tadika tersebut. Program latihan bermula jam 9.00 pagi sehingga 12 tengah hari. Latihan dibahagi kepada dua sesi, iaitu sesi teori dan sesi amali.


Dalam sesi teori yang dijalankan selama 1 jam, para peserta didedahkan dengan asas-asas pengaturcaraan dan bahasa pengaturcaraan. Selain itu, ciri-ciri dan fungsi robot Botley turut diperkenalkan kepada peserta. Dalam sesi amali selama 2 jam, para peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk menjalankan aktiviti amali menggunakan robot Botley. Sebanyak 10 aktiviti amali dijalankan secara berperingkat seperti pergerakan asas Botley, fungsi berulang-ulang (looping), pengesan garisan (line following), dan pengesan objek (object detection).


Setelah menamatkan kesemua 10 aktiviti amali, para peserta dikehendaki menggunakan kreativiti sendiri untuk mencipta cabaran yang mengaplikasikan kesemua 10 aktiviti yang dipelajari. Cabaran ini harus disiapkan dalam masa 10 minit dan dipersembahkan kepada pengajar.


Hasil daripada program ini, para peserta dapat mengenali asas pengaturcaraan serta cara mengendalikan robot. Selain itu, peserta yang terdiri daripada guru tadika ini juga dapat menambah ilmu dan silibus pembelajaran di tadika tersebut, terutamanya dalam memberi pendedahan awal tentang pendidikan STEM kepada kanak-kanak.


Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang menamatkan latihan ToT Little Jazari di Tadika Minda Bitara. Sijil penyertaan diberikan kepada semua peserta dan sebuah robot Botley diberikan kepada penyelia tadika. Semoga program ini dapat membantu dalam pembangunan tahap pendidikan STEM, Robotik, dan Inovasi. Terima kasih dan semoga berjumpa lagi dalam program akan datang.

48 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentarios


bottom of page