Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada anda semua. Alhamdulillah, kita telah memasuki bulan April dan umat Islam seluruh dunia juga telah mula berpuasa selama sebulan bermula 3 April 2022 bersamaan 1 Ramadan 1443 Hijrah. Sebelum memasuki bulan April, JAZRO Robotic Academy telah mengadakan pelbagai aktiviti dan program untuk pelajar sekolah dalam mendalami ilmu pendidikan STEM, Robotik, dan Inovasi.
Program kali ini adalah Pengenalan dan Pengendalian Arduino bersama UPM. Program ini dikendalikan oleh UPM di mana terdapat pelajar sekolah yang terpilih oleh UPM untuk menyertai manakala JAZRO Robotic Academy merupakan penganjur program ini. Ianya berlangsung pada 26 Mac 2022 (Sabtu). Peserta program ini didedahkan dengan fungsi dan asas pengaturcaraan mikropengawal Arduino.
Antara silibus yang terdapat dalam program ini termasuklah Pengenalan Arduino Uno (fungsi pin dan contoh projek), Pengenalan simulasi Tinkercad, Pengenalan basis litar elektrik (penyambungan komponen dan terminal), Asas pengaturcaraan (block programming), dan Inovasi Sistem Automatik. Setiap silibus dibentangkan menggunakan media digital atau aplikasi interaktif.
Bagi mengukuhkan pemahaman peserta terhadap fungsi-fungsi mikropengawal Arduino, platform Tinkercad digunakan. Tinkercad dilengkapi dengan komponen-komponen interaktif dan ‘block programming’ yang memudahkan peserta memahami bagaimana pengaturcaraan Arduino berfungsi.
Pemasangan dan simulasi litar elektrik dijalankan menggunakan Tinkercad. Sambungan komponen kepada mikropengawal Arduino diterangkan sebelum menghasilkan ‘block programming’. Litar yang dihasilkan adalah menyalakan lampu LED, menggerakkan servo motor, dan membaca input sensor ultrasonic. ‘Block programming’ bagi setiap litar dihasilkan selepas selesai pemasangan litar supaya simulasi komponen-komponen tersebut dapat berfungsi.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang menyertai program Pengenalan dan Pengendalian Arduino bersama UPM dan JAZRO Robotic Academy. Terima kasih kepada UPM yang bekerjasama dengan JAZRO dalam menjayakan program ini. Semoga ia dapat membantu pembangunan pendidikan STEM, Robotik, dan Inovasi serta memupuk minat pelajar dalam menceburi bidang tersebut. Terima kasih sekali lagi dan semoga kita berjumpa lagi dalam program akan datang.
Comments