top of page

PROGRAM JAZRO ONLINE MINICLASS 3D

Updated: Apr 10, 2022


Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada anda semua. Alhamdulillah, kita semua telah memasuki bulan Mac 2022 yang juga merupakan waktu cuti sekolah. Sesi persekolahan yang baru juga bakal bermula pada minggu ke-4 di dalam bulan yang sama. Dalam tempoh cuti sekolah ini, JAZRO Robotic Academy telah mengadakan pelbagai aktiviti dan program untuk pelajar sekolah dalam mendalami ilmu pendidikan STEM, Robotik, dan Inovasi.

Program kali ini adalah mengenai Online Mini Class 3D yang diadakan secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom. Program ini berlangsung pada 14 Mac 2022 (Isnin). Di dalam program ini, kami mendedahkan kepada para peserta tentang perkembangan dan penghasilan model tiga dimensi atau 3D. Antara perkara yang diajar adalah penciptaan objek 3D, perbezaan 3D dengan 2D, dan percetakan 3D.



Bagi mengukuhkan pengetahuan peserta terhadap pembuatan objek 3D, kami memperkenalkan mereka dengan perisian Tinkercad - aplikasi pembuatan model 3D atas talian yang dibangunkan oleh Autodesk. Pengajar terlebih dahulu menerangkan tentang fungsi-fungsi yang tersedia dalam Tinkercad dan cara mengendalinya. Kemudian, para peserta diminta untuk membuat model 3D ‘keychain’, rumah solar, dan ‘propeller’ menggunakan Tinkercad. Seterusnya, setiap peserta membentangkan hasil tugasan mereka kepada pengajar.

Hasil daripada program ini, peserta dapat memupuk semangat inovasi dan mengembangkan daya imaginasi dengan mencipta model 3D mengikut kreativiti masing-masing. Selain itu, peserta dapat mengetahui tentang perisian Tinkercad dan cara mengendali fungsi-fungsi yang terdapat dalam perisian tersebut. Seterusnya, peserta dapat meningkatkan keyakinan terhadap hasil kerja mereka dengan membentangkan model 3D yang dihasilkan kepada pengajar.

Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang menyertai program Online Miniclass 3D bersama JAZRO Robotic Academy. Sijil penyertaan diberikan kepada semua peserta yang menyertai program ini. Semoga program ini dapat membantu dalam pembangunan tahap pendidikan STEM, Robotik, dan Inovasi. Terima kasih dan semoga berjumpa lagi pada program akan datang.


19 views0 comments
bottom of page