top of page

PROGRAM 3D DRAWING INTERMEDIATE LEVEL


Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada anda semua. Alhamdulillah, setelah sebulan menunaikan ibadah berpuasa, Hari Raya Aidilfitri disambut setelah memasuki bulan Mei. Di kesempatan ini, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Di bulan yang meriah ini, kami di JAZRO Robotic Academy telah mengadakan pelbagai aktiviti dan program untuk pelajar sekolah dalam mendalami ilmu STEM, Robotik, dan Inovasi.


Program kali ini dibawa oleh kami berkenaan 3D Drawing Intermediate Level yang telah diadakan pada 23 April 2022 melalui platform atas talian Zoom. Berbeza dengan program 3D Drawing yang telah diadakan sebelum ini, peserta diberi input yang lebih mendalam dan kritikal untuk menghasilkan objek tiga dimensi (3D) menggunakan perisian digital.


Sebelum memulakan Intermediate Level, pengajar melakukan ulang kaji tentang apa yang telah dipelajari di dalam program asas 3D Drawing sebelum ini. Melalui ulang kaji ini, peserta dapat mengingati kembali perkara-perkara yang telah dipelajari dan cara menggunakan perisian digital untuk menghasilkan objek 3D.


Sama seperti sebelum ini, perisian digital yang digunakan ialah Tinkercad. Namun, peserta diajar dengan kaedah baharu untuk menghasilkan objek 3D menggunakan perisian tersebut. Dalam program kali ini, pengajar memberi penerangan tentang ‘Codeblocks’ dan bagaimana ia dapat digunakan untuk menghasilkan objek atau model 3D di dalam Tinkercad. Codeblocks atau block programming ialah kaedah pengaturcaraan yang menggunakan blok yang tersedia dengan pelbagai arahan.



Sebagai permulaan, pengajar bersama-sama dengan para peserta menghasilkan sebuah meja menggunakan ‘Codeblocks’ di dalam Tinkercad. Perkara paling penting untuk menghasilkan objek 3D menggunakan Codeblocks adalah bentuk objek, dimensi objek, warna objek, dan kedudukan objek pada satah. Pengiraan tambah, tolak, darab, dan bahagi juga terlibat dalam penghasilan objek 3D menggunakan Codeblocks. Seterusnya, para peserta diminta untuk menghasilkan satu set meja dan kerusi menggunakan Codeblocks. Hasil ciptaan peserta dinilai oleh pengajar.




Dalam pelajaran seterusnya, pengajar menerangkan tentang jenis-jenis gear yang ada dan kegunaan gear-gear tersebut. Kemudian, pengajar menunjukkan cara untuk menghasilkan sebuah gear menggunakan Codeblocks. Sebagai latihan untuk apa yang telah dipelajari, para peserta diminta untuk mencipta sebuah gear yang mempunyai 64 gigi dan menyimpan model 3D objek tersebut di dalam fail Tinkercad masing-masing.


Hasil daripada program ini, peserta dapat memupuk semangat inovasi dan mengembangkan daya imaginasi dengan mencipta model 3D mengikut kreativiti masing-masing. Selain itu, peserta dapat mengenali kaedah alternatif untuk menghasilkan objek atau model 3D menggunakan perisian Tinkercad. Seterusnya, peserta dapat meningkatkan keyakinan terhadap hasil kerja mereka dengan membentangkan model 3D yang dihasilkan kepada pengajar.



Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang menyertai program 3D Drawing Intermediate Level bersama JAZRO Robotic Academy. Sijil penyertaan diberikan kepada semua peserta yang menyertai program ini. Semoga program ini dapat membantu dalam pembangunan tahap pendidikan STEM, Robotik, dan Inovasi. Terima kasih dan semoga berjumpa lagi pada program akan datang.

9 views0 comments
bottom of page