PERTANDINGAN ROBOMASTER DI UKM



Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada anda semua. Semoga anda sekeluarga sihat dan ceria sentiasa. Syukur ke hadrat ilahi, kita masih dapat menikmati udara segar serta melihat keindahan alam yang dikurniakan oleh sang Pencipta.


Entri kali ini adalah mengenai ‘Pertandingan Robomaster’ yang telah diadakan pada 8 Jun 2022 di Smart Selangor Anjung Digital, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pertandingan ini bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang. Pertandingan ini dianjurkan oleh Kelab Autonomous Robot & Vision Sytems (ARVIS) dari UKM, dan JAZRO merupakan penaja utama pertandingan ini.



Dalam pertandingan ini, peserta dari pelbagai universiti bertanding untuk mengendalikan robot ‘Robomaster S1’ yang dihasilkan oleh syarikat DJI dalam menyelesaikan pelbagai cabaran dan halangan yang ditetapkan oleh penganjur. Robot tersebut harus dikendalikan dengan baik supaya dapat melepasi halangan dengan sempurna serta mengumpul markah yang banyak untuk dinobatkan sebagai pemenang. Pasukan-pasukan yang bertanding adalah:

  • Purebotics, Erudite, dan Alpha dari Universiti Putra Malaysia (UPM)

  • Robocar Poli dan Wrecker Jaw dari UKM

  • Huebot1 dan Huebot2 dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

  • UTM Elecsys dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM)




Pertandingan terbahagi kepada sesi pagi dan sesi petang. Pada sesi pagi, tetamu kehormat merasmikan pembukaan acara dan penganjur memberi taklimat tentang pertandingan ini. Seterusnya, para peserta menjalankan latihan halangan dan cabaran yang ditetapkan menggunakan Robomaster S1 sebagai persediaan untuk pertandingan sebenar.


Terdapat tiga cabaran yang perlu diselesaikan oleh semua pasukan dan pengendalian mereka dinilai oleh para juri. Setelah menyelesaikan kesemua cabaran, para juri menetapkan penilaian penuh terhadap semua pasukan dan mengumumkan pemenang sebaik sahaja majlis penutup dijalankan.




Pasukan Purebotics dari UPM telah dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan ini, diikuti oleh Wrecker Jaw di tempat ke-2 dan UTM Elecsys di tempat ke-3. Para pemenang mendapat hadiah wang tunai dan sijil penyertaan diberikan oleh semua peserta.



Tahniah kami ucapkan kepada pemenang serta pasukan yang menyertai Pertandingan Robomaster yang berlangsung di Smart Selangor Anjung Digital, UKM. Semoga program sebegini dapat memupuk semangat kerjasama, perancangan strategi, pembelajaran STEM dan robotik serta teknologi. Terima kasih dan kita berjumpa lagi dalam program akan datang.

23 views0 comments