PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pelan Hala Tuju Robotik Negara (NRR) akan dibangunkan dalam mengarusperdanakan penggunaan teknologi robotik. Perdana Menteri berkata, pelan itu mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing seterusnya meminimumkan pengaliran mata wang ke luar negara.
Menurut beliau, kepadatan robot di Malaysia bagi setiap 10,000 pekerja pada 2019 adalah 55 unit dan sasarannya adalah 195 unit bagi setiap 10,000 pekerja menjelang 2030. Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) kali pertama bagi tahun ini yang dipengerusikan Perdana Menteri.
“Projek Pemangkin dibiayai sektor swasta dan kerajaan akan memainkan peranan sebagai pemudahcara. Antara contoh projek pemangkin adalah perubatan pintar yang menyasarkan penubuhan hospital menggunakan teknologi 5G bagi meningkatkan taraf penjagaan kesihatan rakyat.
“Bandar Pintar menyasarkan pelbagai kes kegunaan berguna bagi memastikan kelestarian kehidupan yang lebih bermakna,” katanya dalam kenyataan hari ini. Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 1.89 juta premis baharu yang diliputi dengan capaian gentian optik dan sebanyak 1,189 menara 4G baharu dibina dari September 2020 sehingga Disember tahun lalu. Kata beliau, di bawah Fasa 1, sebanyak 6.85 juta premis diliputi dengan capaian gentian optik dan liputan 4G di kawasan berpenduduk mencatatkan 95 peratus setakat akhir tahun lalu.
Beliau menjelaskan, Digital Nasional Berhad (DNB) juga memulakan akses kepada rangkaian borong 5G yang mana sebanyak 500 tapak 5G diaktifkan setakat 31 Disember tahun lalu di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur selain menyasarkan 3,500 tapak (bersamaan 36 peratus liputan di kawasan berpenduduk) pada penghujung tahun ini.
“Melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK), sebanyak 883 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sedang beroperasi manakala 28 lagi akan beroperasi menjelang 31 Mac ini di seluruh negara. “Inisiatif ini menyediakan akses internet kolektif serta program keusahawanan kepada masyarakat setempat,” katanya. Pada masa sama, Ismail Sabri memberitahu, beberapa program telah dan akan dilaksanakan sepanjang bulan ini dan bulan depan bagi meraikan ulang tahun pertama pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) serta pengenalan MyDIGITAL sebagai satu inisiatif kerajaan untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi serta peneraju serantau dalam ekonomi digital.
Antara program itu ialah Technopreneur Industry Dialogue, beberapa siri dialog anjuran World Bank dan MyDIGITAL Corporation, Program Transformasi Digital Pasar Siti Khadijah di Kota Baru, Kelantan, Sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai Islamic Digital Technology dan Program Celik Digital Penjawat Awam. “Keberhasilan MyDIGITAL akan menjadi penentu kejayaan pendigitalan Keluarga Malaysia seperti yang diharapkan menjelang tahun 2030 nanti,” katanya. – UTUSAN
Ibu ayah & cikgu-cikgu ingin murid-murid belajar robot? inginkan kelainan dalam sesi pembelajaran mereka? Berita baik buat warga Terengganu dan berdekatan, sesi kelas fizikal kini dibuka! Click link di bawah untuk join:
Commenti